Kejohanan Hoki Piala Razak semakin suram setelah tiga pasukan, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis sah menarik daripada saingan 2018.

Difahamkan, ia bersabit dengan rayuan mereka untuk menggunakan lebih daripada empat pemain luar dari negeri masing-masing beraksi seperti yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), namun rayuan mereka ditolak badan induk itu.

Situasi itu menyebabkan saingan yang sebelum ini berpaksikan kepada lapan pasukan berkurangan menjadi hanya enam pasukan untuk Divisyen Satu, begitu juga dengan Divisyen Dua.

"Dua pasukan daripada Divisyen Satu telah menarik diri, iaitu Negeri Sembilan dan Perlis. Mengikut peraturan kejohanan, jika ia melibatkan kurang daripada lapan pasukan, saingan akan dilangsungkan secara round robin," kata Pengarah Kejohanan Piala Razak 2018, P. Kuganeson.

"Jadi, Divisyen Satu akan berlangsung secara round robin. Dua pasukan terbawah akan menentukan tempat kelima dan keenam. Dua pasukan teratas akan mara ke final, 3 November ini."

Bagaimanapun, tiada kata putus sama ada tiga pasukan yang menarik diri tersebut akan dikenakan hukuman oleh KHM.

"Ia bergantung kepada jawatankuasa pertandingan. Tugas saya adalah menjalankan kejohanan berdasarkan peraturan dan ketetapan yang telah diberikan kepada saya," tambah Kuganeson.

"Persiapan Terengganu macam biasa. Kami sudah merancang untuk latihan selama sebulan. Disebabkan pemain utama bertanding untuk Piala Asia, jadi mungkin akan menjejaskan permainan tetapi kami masih memiliki pemain yang berbakat," ujar pengurus Terengganu, Irawan Jusoh.