Piala Razak 2018: Perak kekal rekod tanpa kalah

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2018 923
Piala Razak 2018: Perak kekal rekod tanpa kalah
Juara bertahan, Perak, mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengatasi Kuala Lumpur 3-2 dalam aksi ketiga saingan Divisyen Satu saingan hoki Piala Tun Abdul Razak, semalam.

Perak dalam momentum baik apabila sebelum ini mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu dan kemudian menang besar 5-0 ke atas Melaka. 

Dalam suku masa pertama, Perak terlebih dahulu diberi tekanan apabila Kuala Lumpur membuka tirai jaringan seawal minit keempat oleh Muhammad Aminudin Mohd Zain menerusi pukulan sudut penalti. 

Selang 10 minit kemudian, Perak menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Hairul Nizam Abdul Rani dan skuad kendalian Mohd Nizam Mohd Hashim itu terus di depan apabila penyerang kebangsaan, Muhammad Haziq Samsul, meledakkan jaringan kedua hasil gol padang pada minit ke-20. 

Keceriaan Perak tidak lama tatkala Mohd Ramadan Rosli menyamakan kedudukan pada minit ke-31 buat Kuala Lumpur tetapi anak buah Iman Gobinathan itu terpaksa berputih mata apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mengesahkan tiga mata buat Perak, dua minit kemudian. 

“Saya rasa kami beraksi di tahap terbaik dalam kejohanan setakat ini. Kami bermain baik menentang juara bertahan, Perak. Semua pemain bagus dalam pasukan lawan dan saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain. Kami akan meneruskan usaha dan sasaran tetap mara ke final,” kata Gobinathan.

“Pemain saya bermain mengikut perancangan tetapi mereka kehilangan fokus disebabkan beberapa keputusan pengadil yang membuatkan mereka tidak berpuas hati. Namun, akhirnya kami dapat mempertahankan kelebihan satu gol dan mengutip mata penuh,” ujar Nizam.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen