Piala Razak 2018: Izad tunjang utama Perak 

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 307
Piala Razak 2018: Izad tunjang utama Perak 
Izad Hakimi Jamaluddin menggalas tugas berat dalam penampilan sulung bersama skuad hoki Perak yang akan menghadapi Piala Razak 2018 bermula Jumaat ini memandangkan juara bertahan itu kehilangan empat pemain kebangsaan.

Izad kembali ke padang hoki selepas meninggalkan skuad kebangsaan tiga minggu lalu.

Pertahanan berkenaan akan menyarung jersi Perak dalam misi mempertahankan Piala Razak menjelang aksi sulung Kumpulan A menentang Kuala Lumpur nanti. 

Dia enggan ditemu bual, namun Perak sedar tugas berat menanti mereka selepas kehilangan sentuhan pemain kebangsaan yang terikat dengan komitmen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman ketika ini. 

"Izad seorang pemain yang kuat daripada segi perwatakan dan keyakinannya, ditambah pula kembali beraksi untuk pasukan negeri kelahirannya. 

"Oleh itu, saya berasakan tidak timbul sebarang isu dan saya yakin Piala Razak boleh menjadi platform untuknya kembali meraih keyakinan dan merebut tempat dalam pasukan Malaysia," ujar jurulatih Perak, Mohd Nasir Mohd Hashim. 

Pertahanan, Sukri Mutalib, Mohd Najib Abu Hassan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan dan pemain tengah, Meor Azuan Hassan, hanya akan tamat tugasan di Oman Ahad ini.

Bagaimanapun, Perak masih memiliki beberapa pemain berkaliber seperti penjaga gol, Roslan Jamaluddin, pertahanan, Azlan Misron, penyerang, Mohd Haziq Shamsul dan Hafifi Hafiz Hanafi.

"Kami kehilangan beberapa pemain berikutan komitmen dengan pasukan kebangsaan. 

"Dengan pemain yang ada, terutama muka muda, kami akan cuba mempertahankan kejuaraan," kata  seorang lagi pertahanan, Shazril Irwan Nazli. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen