Taktikal ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, akan menjadi penentu sama ada Malaysia mampu mengejutkan Belanda dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Piala Dunia di Bhubaneswar, India, Sabtu ini.

Oltmans pernah dianggap "Bapa Hoki Belanda" apabila menjulang Piala Dunia 1998 dan pingat emas Sukan Olimpik 1996 bersama pasukan itu.

Walaupun kejayaan itu hadir dua dekad lalu, namun pengendali berusia 64 tahun itu masih memiliki banyak data mengenai kekuatan dan kelemahan Belanda.

Beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengejutkan pasukan di ranking keempat dunia itu.

"Mereka sememangnya pasukan baru, namun saya mengenali ramai antara barisan kejurulatihan mereka.

"Belanda mempamerkan banyak peningkatan dalam tempoh beberapa tahun ini.

"Mereka merupakan pasukan pilihan dan agak sukar untuk kami berdepan mereka.

"Namun, ia merupakan peluang kami untuk menilai pasukan dan saya yakin kami kini berada di prestasi terbaik," katanya.

Skuad negara disasarkan untuk berada dalam kelompok 10 negara terbaik.

Ia bermakna Malaysia perlu layak ke pusingan kedua.

Ini merupakan penampilan kelapan Malaysia dalam Piala Dunia selepas kali terakhir di The Hague, Belanda pada 2014.

Kempen itu menyaksikan skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah meraih tangga tercorot kejohanan.

"Roelant telah merencana taktikal terbaik buat skuad negara dalam kejohanan ini.

"Dia juga mempunyai banyak pengetahuan tentang Belanda.

"Kami akan bersedia menghadapi mereka dengan perancangan yang disediakan Roelant," kata penolong jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen.