Piala Dunia: Sukri tidak gentar berdepan Belanda

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2018 235
Piala Dunia: Sukri tidak gentar berdepan Belanda
Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, tidak gentar dengan rekod cemerlang Belanda dalam saingan Piala Dunia walaupun Malaysia kali terakhir menewaskan juara tiga kali itu, 43 tahun lalu.

Skuad negara akan berdepan Belanda dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Piala Dunia di Bhubaneswar, India, Sabtu ini.

Kesemua pemain negara belum dilahirkan ketika Malaysia menewaskan pasukan itu 2-1 dalam Piala Dunia 1975 yang dianjurkan Kuala Lumpur.

Ketika itu, Malaysia dibarisi pemain handalan seperti Datuk N. Sri Shanmuganathan dan Datuk Poon Fook Loke.

Kali ini, Malaysia dibarisi 11 pemain yang beraksi dalam Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, yang berakhir dengan pencapaian tangga tercorot.

"Ia satu cabaran yang besar buat kami, namun saya gembira untuk bertemu Belanda dalam Piala Dunia.

"Perlawanan itu akan menjadi penanda aras keupayaan kami bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Statistik menunjukkan Belanda pasukan kedua paling berjaya dengan menjulang Piala Dunia pada 1973, 1990 dan 1998 sementara pencapaian terbaik Malaysia ialah di tangga keempat edisi 1975.

Namun, banyak perkara sudah berubah sejak empat tahun lalu.

"Apabila kami berdepan mereka dalam perlawanan ujian, mereka tidak akan menurunkan barisan terbaik.

"Berbeza dengan saingan kali ini, mereka pasti akan menurunkan barisan terbaik dan itu akan menguji kemampuan sebenar kami untuk bersaing," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen