MALAYSIA 0 BELGIUM 3

Tiada apa yang perlu ditangisi oleh jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, apabila Malaysia gagal mencipta kejutan ke suku akhir Piala Dunia Remaja 2016 susulan tewas 0-3 kepada Belgium untuk menamatkan cabaran di tangga ketiga Kumpulan B malam ini.


Malaysia melangkah ke Stadium Hoki Major Dhyan Chand dengan misi mustahil untuk membelasah Belgium dengan perbezaan 15 gol.

Ia susulan kejayaan Belanda menewaskan Mesir 7-0 dalam perlawanan awal, sekali gus menamatkan cabaran Malaysia untuk muncul selaku naib juara Kumpulan B.

The Young Tigers mengasak awal, termasuk menerusi pukulan sudut penalti, namun gagal mencari jaringan.

Sebaliknya, Belgium yang muncul pasukan pertama dari Kumpulan B layak ke suku akhir, membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Gregory Stock Broekx, pada minit ke-10.

Belgium makin selesa ketika melakukan serangan, Alexandre Van Linhouth melebarkan kedudukan tiga minit sebelum menuju ke bilik persalinan.

Selepas rehat, Belgium meledak gol ketiga menerusi penyerang, Thomas Verheijen, pada minit ke 55.

Pemain negara diketuai kapten, Mohd Najib Abu Hassan, cuba untuk bangkit, namun sukar untuk memasuki kawasan gol lawan, sekali gus akur dengan kekalahan kedua peringkat kumpulan.

Keputusan itu menyaksikan Belgium muncul juara Kumpulan B, diiringi Belanda ke suku akhir, sementara Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat kesembilan hingga 12.

"Secara realistik beraksi untuk penentuan kesembilan hingga 12 merupakan satu pencapaian yang boleh dikira baik kerana kami tidak menjalani latihan khas untuk ke Piala Dunia Remaja.

"Tetapi perlawanan ini menunjukkan bahawa skuad negara mempunyai barisan pemain yang boleh berlawan dengan pasukan yang lebih kuat," jelas Wallace.

Dalam pada itu, jurulatih skuad hoki Belgium, Jeroen Baart, memuji pemainnya yang telah melakukan tugas dengan sempurna serta merealisasikan perancangan yang telah diatur oleh mereka.

"Saya perlu memuji pemain saya kerana mereka telah melakukan tugas dengan begitu baik.

"Kami bercakap untuk membina asas kemenangan dan hari ini saya berkata kepada pemain saya kami perlu untuk terus membina kejayaan dan berada di puncak apabila menamatkan beberapa baki perlawanan," ujar Baart.