Pemain skuad pembangunan hoki negara memberi jaminan Malaysia tidak akan menjadi pasukan belasahan dalam Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, dari 8-18 Disember depan.

Rata-rata pemain melahirkan keyakinan itu, termasuk bekas kapten Skuad Projek 2016, Mohd Najib Abu Hassan.

Najib antara tiga pemain yang baru tiba di tanah air kelmarin, selepas menyertai Festival Hoki Antarabangsa Melbourne, namun tetap komited menjalani latihan bersama skuad pembangunan negara.

"Ia adalah peluang terakhir kami untuk beraksi dalam Piala Dunia Remaja dan mungkin kami bernasib baik.

"Apa yang kami harus dilakukan, kami perlu lebih serius dalam latihan kerana kami tidak mempunyai masa yang secukupnya. Bagaimanapun, kami perlu mengambil peluang ini untuk beraksi dalam Piala Dunia," jelas Najib.

Sementara itu, pemain pertahanan negara, Mohd Amirul Aideed Md Arshad, berkata: "Penat itu memang ada, tetapi kami perlu berkorban untuk beraksi dalam Piala Dunia Remaja.

"Ini juga akan menjadi aras petunjuk masa depan hoki remaja negara, di mana taraf kami berada. Pemain pelapis akan membantu membangunkan sukan hoki di Malaysia."

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam mengesahkan menerima pelawaan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan bersedia menghantar barisan terbaik untuk menyertai kejohanan itu.

"Kami perlu menjaga diri dengan sebaik mungkin dan melakukan sehabis baik. Kami perlu mengambil tanggungjawab untuk beraksi dengan cemerlang dalam Piala Dunia Remaja," kata seorang lagi pemain pertahanan, Najmi Farizal Jazlan.

Bekas jurulatih Skuad Projek 2016, Arul Selvaraj, turut berkongsi kegembiraan apabila anak buahnya tetap ke Lucknow walaupun gagal melepasi kempen kelayakan.

"Saya berasa jika pasukan melakukan perbincangan mengenai strategi permainan, mungkin agak sukar kerana terlalu banyak aspek taktikal untuk dibincangkan.

"Jadi, saya berasa mereka perlu meletakkan fokus kepada pertahanan dan pukulan sudut penalti," katanya.

Skuad muda negara akan berlepas ke India pada 5 Disember sebelum memulakan saingan menentang Belanda dalam saingan kumpulan B pada 9 Disember. Kumpulan itu turut dihuni Mesir dan Belgium.

Piala Dunia Remaja edisi ke-11 menghimpunkan 16 pasukan terbaik dunia, antaranya Belanda, Australia dan Jerman.

Pencapaian terbaik skuad hoki remaja negara dalam Piala Dunia ialah menduduki tempat keempat sebanyak empat kali.