Masalah kabus tebal menyaksikan jadual perlawanan Piala Dunia Remaja 2016 yang berlangsung di Lucknow India, terpaksa dirombak, termasuk perlawanan yang membabitkan pasukan Malaysia.

Namun, jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, tidak mengambil kisah perkara itu ekoran perkembangan positif pasukannya.

Perubahan waktu perlawanan dilihat tidak menjejaskan kem negara. Penganjur terpaksa merombak jadual hari kedua ekoran kabus tebal yang menghalang jarak penglihatan pemain.

Bagi kem negara, masalah itu tidak menjejaskan tumpuan mereka selepas mendapat suntikan semangat menerusi kemenangan 1-0 ke atas Kanada dalam aksi persahabatan di venue kejohanan, Stadium Hoki Major Dhyan Chand.

Ia satu-satunya aksi pemanas badan sebelum turun menentang Belanda hari ini.

"Kami menjalani latihan di padang dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

"Kami juga telah berlatih beberapa gerakan yang kami mahukan seperti gerakan untuk menyerang dan juga bertahan kerana ia begitu penting dalam situasi seperti ini," jelas Wallace.

Kredit wajar diberikan kepada penyerang, Nik Mohamad Aiman Nik Rozemi, yang meledak gol tunggal menewaskan Kanada.

Penyerang Tenaga Nasional Berhad itu dijangka akan memainkan tugas penting untuk memburu gol padang dan mendapatkan pukulan sudut penalti ketika menentang Belanda.

"Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi dengan rakan sepasukan kerana saya dapat melihat semangat mereka untuk melakukan kejutan dalam perlawanan menentang Belanda.

"Saya berharap semua rakan sepasukan dapat meneruskan semangat tersebut sehingga perlawanan nanti," kata Aiman.