Langkah India menganjurkan Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, Uttar Pradesh, dilihat tepat apabila Stadium Hoki Major Dhyan Chand, dibanjiri ribuan penyokong setiap hari - situasi yang berbeza di New Delhi, pada tiga tahun lalu.

Uttar Pradesh negeri ketiga terbesar di India yang terletak di utara India. Negeri itu memiliki lebih 200 juta penduduk yang kebanyakannya meminati aktiviti sukan terutamanya hoki.

Piala Dunia Remaja diperkenalkan pada 1979 dan 2016 menyaksiakan ia kali kedua India muncul selaku tuan rumah. Berbeza dengan tahun 2013, India mengambil langkah berani untuk menjual tiket perlawanan dan langkah itu dilihat berbaloi.

Rata-rata penyokong yang membanjiri stadium merupakan penyokong kelab tempatan, Uttar Pradesh Wizards yang beraksi di Liga Hoki India yang diiktiraf sebagai liga termahal dunia. Tidah hairanlah Stadium Hoki Major Dhyan Chand, dengan kapasiti 15,000 tempat duduk sentiasa penuh dengan penonton sepanjang kejohanan berlangsung.

Kebiasaannya tiket berharga 50 Rupees (RM 3.50) habis terjual terutamanya membabitkan perlawanan pasukan India. Ia sekali gus menghidupkan suasana Piala Dunia Remaja.

Kepuasan jelas terpancar di wajah penonton sebaik sahaja meninggalkan stadium. Kemenangan yang diraihkan dilihat berbaloi dengan tiket yang diperkenalkan buat kali pertama di India.

"Ia sangat berbaloi untuk membeli tiket. Untuk penyokong ia sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan sebab itu kami berada di Stadium," jelas salah seorang penyokong pasukan India ketika ditemubual oleh Bazly Azmi untuk Nadi@1.

Dengan sistem tiket yang diperkenalkan, Stadium Hoki Major Dhyan Chand tetap penuh dengan ribuan penyokong tempatan dan pemain pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Firdaus Omar serta Najmi Farizal Jazlan, mengakui keseronokan di sana menyamai kemeriahan di stadium hoki di Malaysia sama ada di Ipoh, Perak, mahupun di Johor Bharu (JB), dan membuatkan mereka rindu kepada sokongan rakyat Malaysia.

"Seperti di Piala Sultan Johor, penyokong Malaysia sememangnya ramai tetapi di India kami tetap mempunyai penyokong yang terdiri daripada barisan kakitangan skuad hoki negara dan pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di sini. Sekurang-kurangnya kami masih mempunyai penyokong," ujar Firdaus.

"Saya merindui suasana di Malaysia kerana di sini kami diberikan sokongan oleh kakitangan skuad negara dan juga pelajar-pelajar Malaysia.

"Kami dapat melihat bagaimana sokongan yang menakjubkan diberikan oleh penyokong India terhadap pasukan mereka, sama seperti yang kami perolehi ketika beraksi di JB dan Perak," tambah Najmi.

Sambutan hebat di Lucknow, Uttar Pradesh, menjadi penanda aras untuk India menghadapi satu lagi ujian besar. Mereka bakal menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia 2018.

Kredit photo: laman web rasmi FIH