Kapten skuad pembangunan hoki negara, Mohd Najib Abu Hassan, menganggap pencapaian dalam Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India sebagai penamat gemilang bagi tujuh pemain yang akan meninggalkan pasukan remaja, bermula Januari depan.

"Saya bangga dengan persembahan kawan-kawan saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini (semalam) kerana sekurang-kurangnya kami dapat menamatkan kejohanan dengan baik.

"Apa yang mampu buat, kami lakukannya di sini," katanya selepas Malaysia menewaskan Austria 2-1 menerusi penentuan penalti apabila kedudukan terikat 2-2 dalam masa sebenar di Stadium Dyhan Chand.

Malaysia hanya mempunyai tempoh seminggu untuk membuat persiapan sebelum ke kejohanan tersebut, tetapi tetap menamatkan saingan di kedudukan yang baik.

"Ketika mengambil pukulan sudut penalti, pemain ada rasa gementar sedikit. Saya beritahu mereka, bagaimana sekalipun mereka mesti melakukan dengan terbaik. Kalah atau menang, kami sama-sama terima," kata Najib.

Najib akan meninggalkan pasukan itu tahun depan kerana usianya melebihi 21 tahun. Bagaimanapun, dia sempat memberi nasihat kepada pemain negara agar fokus dalam latihan.

"Kepada pemain yang mewakili pasukan bawah 21 tahun, mereka perlu mengambil serius peluang yang ada walaupun masih muda. Selalu fokus dalam latihan dan perlawanan," katanya.

Skuad muda negara menamatkan saingan Piala Dunia Remaja 2016 di tangga ke-11 dan ia pencapaian lebih baik berbanding 2001 dan 2009, di mana ketika itu Malaysia meraih tangga ke-12.