Cuaca sejuk sehingga 10 darjah Ccelcius akan menyukarkan lagi misi skuad hoki pembangunan negara untuk mencapai sasaran ke suku akhir Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, namun pengendali, Wallace Tan, mempunyai pandangan berbeza.

Pemain negara yang akan beraksi pada lewat petang dan malam perlu segera menyesuaikan diri, apatah lagi selepas hanya sempat membuat persiapan selama seminggu sebelum ke Lucknow.

Namun, ia bukan alasan sebelum memulakan kempen menentang Belanda, Jumaat ini.

"Pemain kami pernah beraksi di dalam cuaca sejuk sebelum ini. Saya fikir situasinya nanti akan lebih kurang sama dan pemain kami boleh menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk," katanya.

Malaysia menamatkan sesi latihan terakhir dengan kekalahan 0-3 kepada pasukan Wilayah China, Inner Mongolia, dalam aksi persahabatan.

Pemain diberi pelepasan dua hari sebelum berlepas ke Lucknow, Isnin ini.

"Kami mendapat latihan yang bagus dan boleh memperbaiki segala kelemahan yang telah kami lihat.

"Selepas persediaan yang telah kami lakukan dan beberapa perlawanan persahabatan, kami sudah bersedia untuk ke India," tambah Wallace.