Piala Dunia Remaja 2016: Najmi bakal galas tugas penting

Oleh Staff Writer 2 Disember 2016 5
Piala Dunia Remaja 2016: Najmi bakal galas tugas penting
Pertahanan skuad pembangunan hoki negara, Najmi Farizal Jazlan, bakal menggalas tugas penting sebagai pakar pukulan sudut penalti utama dalam Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, susulan ketiadaan Shahril Saabah yang sudah melebihi usia 21 tahun.

Malaysia memiliki dua pakar pukulan sudut penalti. Tumpuan utama terarah kepada Najmi yang turut memiliki pengalaman bersama skuad kebangsaan.

Pertahanan kelahiran Perlis itu meledak dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Inner Mongolia, 3-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Justeru, harapan tinggi diletakkan di bahu Najmi sebagai mesin penjaring gol Malaysia.

"Saya sudah berlatih lama untuk melakukan flik dan kejohanan ini yang akan menentukan bagaimana saya boleh menjalankan tugas yang diberikan kepada saya dengan sebaiknya," ujar Najmi.

Seorang lagi pakar negara ialah Syed Mohd Syafiq Syed Cholan. Pertahanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu semakin mencipta nama selepas meledak lima gol dalam Liga Hoki Malaysia, dan diletakkan sebagai pilihan kedua, termasuk untuk gerakan set piece.

"Saya perlu mempertingkatkan lagi ketajaman dalam pukulan sudut penalti. Walaupun saya baru pulih daripada kecederan, jika dilihat pada persembahan yang saya telah pamerkan, saya mencetak satu gol ketika memiliki peluang," jelas Syed Syafiq.

Seorang lagi pemain hoki negara, Amirul Aideed Arshad, melontarkan keyakinan untuk Malaysia layak ke suku akhir, berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketika Piala Sultan Johor baru-baru ini.

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi pada pasukan kami, Insya-Allah kami boleh melayakkan diri ke suku akhir.

"Dengan prestasi yang telah kami pamerkan ketika di Piala Sultan Johor baru-baru ini, kami boleh meningkatkan lagi prestasi tersebut.

"Kami bertemu New Zealand dan berjaya menewaskan mereka ketika itu, jadi tidak mustahil kami akan layak ke suku akhir," tambah Amirul.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen