Dua gol dalam tempoh lima minit memusnahkan impian skuad pembangunan hoki negara untuk meneruskan kemaraan dalam Piala Dunia Remaja 2016 apabila tewas 1-3 kepada New Zealand dalam perlawanan penentuan tempat ke-9/12 di Lucknow, India, malam ini.

Pengajaran berguna untuk pemain muda negara bimbingan Wallace Tan di Stadium Hoki Major Dhyan Chand, dengan mereka patut lebih tenang pada saat genting atau lawan mengambil kesempatan meledak jaringan dalam masa singkat.

New Zealand, pasukan di tangga ketiga kumpulan C, membuka tirai jaringan menerusi Oliver Logan pada minit ke-13.

Gol itu membakar semangat pemain negara untuk meningkatkan serangan hingga berjaya meraih pukulan sudut penalti pada minit ke-28.

Usaha itu berhasil apabila Firdaus Omar menyamakan kedudukan menerusi tolakan kencang.

Selepas rehat, New Zealand menyerang bertubi-tubi termasuk menerusi pukulan sudut penalti, bagaimanapun, sukar menewaskan Firdaus selaku pelari pertama negara.

Junior Black Stick kekal tenang dan kembali di depan menerusi penyerang, Robbie Capizzi, pada minit ke-56.

Malaysia kemudiannya beraksi dengan sembilan pemain apabila kapten, Najib Abu Hassan, dan Amirul Aideed Md Arshad dilayangkan kad kuning.

New Zealand menggunakan peluang itu untuk meledak gol ketiga menerusi Sam Lane pada minit ke-60.

Bolos dua gol dalam tempoh lima minit memberi tamparan terhadap moral pemain negara.

Malaysia melancarkan serangan bertubi-tubi pada hujung permainan, namun sukar untuk membolosi kubu New Zealand.

Tewas 1-3 bermakna Malaysia akan menentang Austria pada perlawanan penentuan tempat ke-11/12, Sabtu ini.