"Mereka patut dipuji". Itu pendirian bekas kapten kebangsaan, S Kuhan, walaupun skuad pembangunan hoki negara gagal untuk mencapai sasaran mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Remaja 2016 apabila akan berdepan Austria untuk penentuan tempat ke-11/12, esok.

Kuhan tiba di Lucknow untuk memberi sokongan kepada skuad negara. Pertahanan negara yang bersara pada 2007 itu berpendapat, skuad kendalian Wallace Tan wajar dipuji kerana berani datang ke Lucknow tanpa persiapan rapi.

Justeru, tiada sebab untuk mengkritik skuad negara walaupun gagal untuk mencapai sasaran mara ke suku akhir yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Mereka tidak menjalani latihan yang secukupnya, jadi saya berasa persembahan yang telah mereka tampilkan adalah baik.

"Saya berasa mereka wajar untuk mendapat pujian kerana agak sukar untuk bermain dengan pasukan yang dikumpulkan 10 hari sebelum kejohanan dan tidak mendapat latihan yang secukupnya dan datang ke Lucknow untuk beraksi.

"Sekurang-kurangnya mereka tidak menamatkan saingan kumpulan di tempat terakhir dan memberikan tekanan dalam perlawanan, jadi saya berpuas hati dengan persembahan mereka.

"Saya berasa paling penting pemain-pemain tersebut mendapat peluang beraksi dalam Piala Dunia Remaja dan mereka perlu menggunakan pengalaman yang mereka miliki untuk masa depan," jelas Kuhan.

Kuhan pernah memegang rekod pemain paling banyak mewakili negara dengan 341 penampilan.

Namun, dia tidak pernah merasai pentas Piala Dunia Remaja apabila Malaysia gagal melepasi kempen kelayakan untuk edisi 1997 di England.