Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ow Soon Kooi, menetapkan sasaran suku akhir untuk skuad pembangunan hoki negara dalam Piala Dunia Remaja 2016 selepas Malaysia menumbangkan Inner Mongolia 3-1 dalam aksi persahabatan.

Banyak pihak meragui kemampuan skuad pembangunan hoki negara dalam Piala Dunia Remaja 2016.

Persiapan singkat, tiada pemain bintang dan belum pernah menjuarai mana-mana kejohanan -- ia ramuan yang cukup untuk meletakkan Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan B bersama Belanda, Belgium dan Mesir.

Bagaimanapun, KHM tetap berani menetapkan sasaran tinggi ke suku akhir.

"Malaysia merupakan pasukan ke-16 yang layak ke Piala Dunia Remaja. Tetapi pada pendapat saya, kami berpeluang untuk layak ke suku akhir.

"Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada pemain kerana mereka memiliki peluang kedua untuk beraksi dalam Piala Dunia Remaja 2016," jelas Soon Kooi.

Suku akhir sesuatu yang mengejutkan tetapi KHM wajar dipuji kerana berani menetapkan sasaran.

Prestasi terbaik Malaysia dalam Piala Dunia Remaja ialah empat kali meraih tangga keempat dan kali terakhir pada 2013 di New Delhi, India.

"Pada saya, ia merupakan proses persediaan, jadi semuanya perlu diterjemahkan di dalam padang.

"Kami ingin melihat perkara positif yang boleh berlaku dan segala kekurangan kami perlu perbaiki. Kami masih ada beberapa hari untuk melakukannya," tambah jurulatih skuad pembangunan negara, Wallace Tan.