Kegagalan ke peringkat suku akhir Piala Dunia Remaja 2016 paling dirasai oleh pakar pukulan sudut penalti negara, Najmi Farizal Jazlan, apabila Malaysia mensia-siakan enam peluang gerakan itu ketika tewas di tangan Belgium 3-0.

Walaupun memberikan tentangan dalam perlawanan tersebut, skuad pembangunan hoki negara terpaksa menerima hakikat untuk menamatkan cabaran peringkat Kumpulan B di tangga ketiga.

Bagaimanapun, Najmi memuji sikap rakan sepasukannya yang bermain bermati-matian dalam perlawanan tersebut walaupun gagal untuk menjaringkan sebarang gol.

"Pasukan kami menunjukkan keinginan yang tinggi untuk beraksi dalam setiap perlawanan dan kami sentiasa memberikan aksi 100 peratus ketika di atas padang.

"Walaupun menyedari kami tetap akan berada di kedudukan tempat ketiga dalam kumpulan, setiap daripada kami beraksi bermati-matian dalam perlawanan tersebut kerana percaya kami mungkin mampu untuk mencari kemenangan.

"Perlawanan seterusnya menentang New Zealand, kami tidak akan berputus asa, malah akan terus menampilkan aksi yang lebih baik," katanya.

Malaysia memiliki enam pukulan sudut penalti, namun gagal untuk menghasilkan jaringan. Najmi menyifatkan kesilapan teknikal yang berlaku menjadi punca kegagalan mereka untuk mencetak sebarang jaringan.

"Saya telah mencuba untuk memikul tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.

"Apa yang boleh saya katakan, kami perlu untuk lebih fokus dan memperbaiki kesilapan teknikal yang telah kami lakukan. Untuk perlawanan seterusnya, kami perlu mengelakkannya daripada terus berlaku."

Selepas tiga perlawanan, Najmi tanpa berselindung meluahkan rasa tidak gembira dengan pukulan sudut penaltinya.

"Saya memang tidak berasa gembira kerana sebagai individu, saya sendiri gagal untuk menjaringkan sebarang gol daripada pukulan tersebut.

"Saya masih tidak berpuas hati dan perlawanan masih belum berakhir, Insya-Allah saya akan mencuba untuk memperbaikinya dalam perlawanan yang seterusnya."

Selepas menamatkan tiga aksi peringkat kumpulan, Malaysia berjaya menjaringkan empat gol dan hanya gol Amirul Aideed Arsh, membabitkan pukulan sudut penalti, iaitu menerusi lantunan semula.

Berikut senarai penjaring gol negara:

Muhammad Hafiizuddin Zaidi - 1 gol
Amirul Aideed Md Arshad - 1 gol
Abd Khaliq Hamirin - 1 gol
Mohamad Zulhamizan Awang Abbas - 1 gol