Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, berada dalam situasi berbelah-bahagi apabila bakal menerima dua tonggak kembali ke skuad negara untuk ke Kejohanan Hoki Piala Dunia di India dan pada masa sama bakal kehilangan penjaga gol, S. Kumar, yang masih belum pulih daripada kecederaan.

Kumar dilaporkan masih dibelenggu kecederaan keretakan tangan kanan.

Meskipun disenaraikan ke Oman dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 tempoh hari, Kumar langsung tidak diturunkan, sebaliknya Hairi Abd Rahman diberikan tugas menjaga gawang.

Kumar dijangka kembali pada hujung minggu ini selepas sambutan Hari Deepavali dan Oltmans akan membuat penilaian terhadap tahap kecergasannyadi samping seorang lagi pemain, Najib Abu Hassan, yang turut tercedera.

"Keadaannya tidak dalam keadaan baik dan seperti yang kita ketahui, Kumar masih lagi cedera.

"Dia baru mendapatkan rawatan susulan pada hujung minggu lalu dan buat masa ini, dia perlu berehat.

"Kumar akan kembali minggu depan dan pembantu saya kini sedang berada di Belanda.

"Dia akan kembali dan membantu Kumar bekerja keras selepas ini," ujar jurulatih kelahiran Belanda itu.

Oltmans mengakui masa semakin suntuk untuk persiapan Piala Dunia, ditambah pula hujan dan ribut petir yang menjadikan mereka hanya sempat berlatih satu sesi sehari.

Berita gembiranya, Oltmans lega apabila kehadiran dua tonggak, Fitri Saari dan Razie Abd Rahim, yang kembali untuk memperkuatkan skuad negara.

"Kami masih dalam perancangan asal memandangkan sudah tahu bahawa beberapa pemain akan kembali ke pangkuan skuad ini.

"Sudah tentu saya akan menilai tahap persembahan setiap pemain dalam ACT selain pemain yang akan kembali melaporkan diri kerana kejohanan itu membantu kami membuat persediaan menghadapi Piala Dunia," katanya lagi.