Pengadil hoki negara, Eric Koh, terus mengharumkan nama Malaysia selepas terpilih sebagai pengadil tunggal negara yang akan bertugas dalam Piala Dunia 2018 yang akan bermula lusa.

Ini tugas pertama Eric di peringkat Piala Dunia.

Ia akan menjadi pentas tertinggi buat pengadil kelahiran Melaka itu selepas bertugas dalam Separuh Akhir Liga Dunia di London, tahun lalu.

Pencapaian ini bermakna beliau selangkah untuk melengkapkan pencapaian tertinggi sebagai pengadil.

"Saya mahu berterima kasih kepada Badan Pengadilan Hoki Malaysia kerana memberikan kepercayaan terhadap saya selama ini.

"Sebagai seorang wakil dari Malaysia, saya amat berbangga untuk membawa nama negara ke pentas tertinggi.

"Ini merupakan sasaran saya sepanjang karier sebagai pengadil hoki.

"Saya berharap dalam dua tahun akan datang, saya akan terpilih untuk mengadili acara hoki di Sukan Olimpik Tokyo pula," katanya.

Eric baru dinaikkan taraf sebagai pengadil yang memiliki lesen Piala Dunia.

Lesen Piala Dunia setaraf Panel Dunia selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengubah struktur lesen pengadil seluruh dunia.