Ketua pasukan skuad hoki ais bawah 20 tahun negara, Bryan Lim, menyimpan impian mahu mengembangkan karier beraksi di luar negara pada suatu hari nanti dengan Kanada dan Sweden menjadi destinasi pilihannya.

Bryan antara permata baru negara, malah muncul penjaring terbanyak bersama-sama Loke Ban Kim ketika menjuarai Divisyen Satu Piala Cabaran Asia, Mac lalu.

Belum puas dengan pencapaiannya, Bryan mahu mengutip pengalaman di pentas tertinggi dengan cuba beraksi di luar negara.

Namun, dia sedar pencapaian itu bukan mudah untuk dicapai ekoran nama Malaysia masih kerdil dalam dunia hoki ais.

"Saya begitu teringin untuk beraksi di luar negara tetapi dalam masa yang sama, saya masih ingin menabur bakti beraksi bersama-sama di Malaysia.

"Kancah di Kanada, Finland dan Sweden menjadi pilihan saya," katanya.

Mengenai peluang negara dalam Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran IIHF B-20 yang akan bermula Rabu ini, Bryan optimis mereka mampu mengekalkan kejuaraan.

Walaupun sedikit kekurangan daripada segi persiapan dan berbeza seperti mana tahun lalu, Bryan menjelaskan ia bukan satu masalah besar kerana skuad ini mengekalkan sebahagian besar muka lama.

"Persiapan kami tidak banyak berubah. Cabaran kami terletak kepada pemain pelapis yang perlu menyesuaikan diri, jadi sudah pasti kekuatan kami tidak sama seperti edisi yang lepas.

"Kesemua pasukan hebat-hebat belaka, ia cabaran terbesar kami.

"Kami belum tahu tahap kemampuan masing-masing sehinggalah kami berentap nanti," tambahnya.