Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan enam pasukan gergasi dunia dan Eropah bakal berentap dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2018 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, dari 3 hingga 11 Mac depan.

Ia juga menjadi medan untuk skuad Malaysian Hockey Tigers mendapat pendedahan terbaik bagi persediaan awal menjelang Hoki Piala Dunia 2018.

Berdasarkan pengesahan tersebut, Malaysia yang berada di ranking ke-12 dunia, bakal berentap dengan pasukan handalan dunia seperti Australia yang berada di ranking pertama dunia, Argentina
(ranking kedua), India (ranking keenam), diikuti England (ranking ketujuh) dan Ireland (ranking ke-10).

Menurut Pengarah Teknikal KHM, Terry Walsh, Piala Sultan Azlan Shah merupakan cabaran terbaik untuk skuad negara membuktikan kemampuan dan memberikan tentangan hebat kepada negara bukan Asia selain menamatkan saingan di kedudukan terbaik.

"Berdasarkan kedudukan ranking enam pasukan yang bersaing, Malaysia merupakan pasukan yang berada di kedudukan keenam dan Piala Sultan Azlan Shah 2018 menjadi medan untuk menguji tahap kemampuan skuad kebangsaan selain ia dilihat bakal menjadi satu cabaran untuk mereka berusaha menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik.

"Selain itu, kita juga dapat melihat Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah akan menampilkan empat negara bukan Asia dan KHM melihat ia sebagai satu persediaan yang baik buat skuad negara menuju ke Sukan Komanwel.

"Ini kerana pemain bakal berdepan dengan aksi yang lebih kompetitif dan perlu untuk mereka meningkatkan mutu permainan ke tahap yang lebih tinggi, bukan setakat di Asia sahaja," ujar Walsh.

Selain itu, Walsh juga berharap persediaan yang bakal dijalani skuad negara dalam kejohanan itu juga akan dapat membantu mereka beraksi di satu tahap yang lebih tinggi dalam Sukan Asia di Indonesia pada Ogos nanti. Pingat emas akan melayakkan skuad hoki negara untuk beraksi secara automatik dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam masa sama, KHM turut mengkaji beberapa kejohanan yang dijadualkan bakal berakhir dalam tempoh empat bulan pertama 2018 seperti Liga Hoki Malaysia, Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia.

Ia bakal memberikan satu persediaan dan pendedahan awal buat skuad Stephen van Huizen itu untuk terus melalui kejohanan-kejohanan lain pada tahun depan agar lebih berdaya saing.