Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengesahkan isu yang melibatkan penjaga gol negara, S. Kumar, adalah satu-satunya kes positif doping dalam saingan lelaki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dan sedang menunggu keputusan sampel air kencing saingan wanita yang berlangsung di Kakamigahara, Jepun.

Beberapa pemain negara turut diuji ketika kejohanan itu Oktober lalu, bagaimanapun, hanya Kumar yang didapati positif, sekali gus mengurangkan tekanan kepada negara bertanding.

AHF ketika ini sedang menunggu keputusan sampel air kencing pemain wanita yang menyertai Piala Asia di Kakamigahara bulan lalu di mana beberapa pemain Malaysia turut diuji.

"Semua kes berlaku kerana kurang keprihatinan daripada pihak atlet dan tiada ukuran yang betul berhubung pengambil bahan itu. Ia berpunca daripada kelekaan di peringkat individu," kata Ketua Pegawai Eksekutif AHF, Datuk Tayyab Ikram.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu positif bahan jenis sibutramine yang biasa terdapat dalam pil menguruskan badan.

Ia bukan dadah perangsang, namun disenaraihitamkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di mana atlet berdepan penggantungan maksimum dua tahun.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sedang menunggu maklum balas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengenai tarikh proses pendengaran yang dijangka bulan depan.