Piala Asia: Fazilla terlepas aksi 

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 241
Piala Asia: Fazilla terlepas aksi 
Pemain hoki wanita negara, Fazilla Sylvester Sillin, tetap mengharapkan skuad negara mampu menyerlahkan keajaiban di Kakamigahara, Jepun, bagi memburu slot ke Piala Dunia 2018 meskipun tidak dapat bersama pasukan demi tuntutan kerjaya. 

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, sebelum ini amat memerlukan khidmat Fazilla dalam pasukannya, terutama bagi mengemudi jentera tengah dalam saingan Piala Asia 2017 itu. 

Namun, khidmat Fazilla terpaksa dilupakan setelah rayuan untuk mendapatkan pelepasan pemain itu daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak kesampaian. 

"Saya mengambil keputusan untuk tidak menyertai Piala Asia kerana masih mempunyai beberapa modul latihan bomba yang perlu dilengkapkan.

"Modul ini wajib dihadiri sepenuhnya untuk memastikan saya lulus dan tamat latihan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya yang kini berada dalam Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Kuala Kubu Bahru untuk menjalani kursus latihan kawad kaki. 

Walaupun tidak dapat bersama pasukan untuk ke Piala Asia, Fazilla tetap menyimpan hasrat untuk kembali merebut posisinya dalam skuad negara selepas dia menamatkan latihan pada Januari tahun depan. 

"Saya berharap rakan-rakan sepasukan mampu memberikan aksi terbaik dan berusaha sungguh-sungguh untuk mara ke perlawanan akhir. 

"Selamat maju jaya buat The Malaysian Hockey Tigress."

Pusingan akhir Piala Dunia 2018 akan berlangsung di London, England, dari  21 Julai hingga 5 Ogos.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen