Piala Asia 2017: Malaysia tewas bermaruah

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2017 7657
Piala Asia 2017: Malaysia tewas bermaruah
MALAYSIA 1 INDIA 2

Malaysia terpaksa akur untuk muncul sebagai naib juara saingan Piala Asia 2017 selepas tewas 2-1 kepada India dalam final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh sebentar tadi.


Selepas mencetak sejarah untuk mara ke final buat kali pertama sejak kejohanan ini dipertandingkan pada 1982, skuad bimbingan Stephen Van Huizen mempamerkan aksi terpuji berdepan juara dua kali, India.

Ternyata India merupakan pasukan yang berada pada kelas yang berbeza selepas mempamerkan asakan agresif dan berjaya membuka jaringan seawal minit ketiga hasil tampanan Ramandeep Singh.

Kelebihan pemain India yang bijak mencari posisi terbaik di hadapan gawang jelas kelihatan ketika Lalit Upadhyay menggandakan jaringan pada minit ke-29.

Mengulangi skrip yang sama seperti dalam saingan Super 4 ketika Malaysia tewas 6-2, India terus mendominasi permainan dengan selesa.

The Speedy Tigers, bagaimanapun, enggan menyerah kalah dan berjaya mengurangkan defisit jaringan selepas Shahril Saabah menjaringkan gol pada minit ke-59.

Malaysia terus melancarkan serangan dalam usaha mencari gol penyamaan, dengan peluang terbaik mereka hadir pada penghujung permainan menerusi pukulan sudut penalti yang gagal disempurnakan oleh penjaring terbanyak kejohanan, Faizal Saari. Walaupun sekadar mengakhiri saingan sebagai naib juara, ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia selepas kali terakhir menamatkan saingan di tempat ketiga pada edisi 2007.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen