MALAYSIA 1 KOREA SELATAN 1

Impian skuad bimbingan Stephen van Huizen untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Asia 2017 buat kali pertama menjadi kenyataan selepas berjaya mengikat Korea Selatan 1-1 dalam perlawanan terakhir saingan Super 4 di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh lewat malam tadi.


Satu mata yang diperoleh dalam perlawanan terakhir peringkat Super 4 itu sudah memadai untuk meletakkan pasukan negara sebagai pasukan kedua terbaik untuk melangkah ke final mengiringi India.

Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir merupakan sejarah buat skuad negara yang tidak pernah ke final dan The Malaysian Hockey Tigers akan membuat perhitungan dengan India dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung hari ini.

Terdahulu, India mencipta kemenangan 4-0 ke atas Pakistan untuk ke final, sekaligus menyaksikan Korea Selatan dan Pakistan akan membuat perhitungan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Aksi pada suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha untuk mendapatkan jaringan awal, namun buntu untuk menghasilkan sebarang gol.

Korea Selatan mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama dan Yang Jihun mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Malaysia diberikan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti yang bagaimanapun gagal disempurnakan oleh Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad.

Tiada sebarang tambahan jaringan berjaya untuk dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dalam suku ketiga walaupun Korea memiliki beberapa percubaan untuk menggandakan jaringan tetapi aksi cemerlang penjaga gol negara, Kumar berjaya untuk menidakkan usaha Korea untuk menambah jaringan.

Skuad negara, bagaimanapun, tidak berputus asa untuk terus menggandakan usaha mencari jaringan tetapi usaha untuk cuba merapati pintu gawang Korea terus dikawal ketat dan lawan mencuba sedaya-upaya untuk menghalang impian skuad negara mencipta jaringan.

Minit ke-53 menyaksikan usaha untuk terus mendapatkan jaringan seakan-akan tidak menjadi apabila bola hantaran Muhammad Razie Abd Rahim mencari Muhammad Shahril Saabah tidak berjaya dibaca dengan baik oleh Shahril.

Usaha untuk memberikan tekanan kepada Korea berhasil apabila dua minit sebelum tamat perlawanan sebenar, Malaysian Tigers dihadiahkan pukulan sudut penalti kedua dan peluang untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Flik dilakukan Faizal, yang mencari sudut atas kanan pintu gol lawan, menjelmakan jaringan yang dinanti-nantikan skuad negara.

Beberapa minit sebelum tamat perlawanan Korea Selatan cuba untuk mendapatkan pukulan sudut penalti sebagai usaha untuk menggandakan jaringan, namun usaha mereka gagal dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.