Kecederaan tiga tonggak utama skuad hoki negara, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, Meor Muhamad Azuan Hasan dan Muhammad Firhan Ashari, menyaksikan mereka terlepas peluang untuk membantu Malaysia dalam Kejohanan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh bermula 11 hingga 22 Oktober ini.

Sidang media Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini bagi mengumumkan 18 pemain ke Dhaka juga menyaksikan jurulatih negara, Stephen van Huizen, mengumumkan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dipinjamkan ke skuad Piala Sultan Johor 2017, sekaligus turut terlepas ke Piala Asia 2017.

Berdasarkan 18 nama yang diumumkan, empat pemain yang tidak ke Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, iaitu Joel Samuel Van Huizen, Muhamad Ramadan Rosli, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad mendapat kepercayaan Van Huizen untuk beraksi dalam Piala Asia.

Jurulatih itu turut menyangkal pandangan bahawa Malaysia tidak memandang serius kejohanan ini kerana telah layak ke Piala Dunai 2018.

Jelas Van Huizen: “Kejohanan Piala Asia sangat penting untuk kami kerana ia akan membantu untuk menaikkan ranking pasukan selain ia penting untuk kami mengekalkan prestasi terbaik dan peningkatan yang telah kami tunjukkan.

“Perlawanan Piala Asia tidak akan semudah yang disangka dan kami menjangkakan persaingan yang hebat akan diberikan oleh pasukan yang bersaing dan kejohanan ini akan menjanjikan persaingan yang cukup hebat,” ujarnya.

Sementara itu, KHM turut memperkenalkan Muhammad Amin Rahim selaku pembantu jurulatih yang akan bekerjasama dengan pembantu jurulatih negara, Lim Chiow Chuan, bagi kejohanan ini sebagai pendedahan kepadanya untuk memperkembangkan lagi kerjaya kejurulatihannya.

Amin, yang turut hadir dalam sidang media berkenaan, menyahut baik kepercayaan yang diberikan oleh KHM dan akan menggunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada KHM kerana memberi peluang ini. Bagi saya, ia merupakan peluang keemasan untuk saya memperkembangkan kerjaya sebagai jurulatih dan ini merupakan langkah pertama untuk saya membantu skuad kebangsaan,” jelasnya.

Skuad lelaki negara akan berlepas ke Dhaka pada Ahad ini jam 8 malam sebelum menjalani perlawanan persahabatan bertemu Jepun keesokannya.

Senarai 18 pemain ke Piala Asia 2017:
1. Kumar A/L Subramaniam
2. Muhammad Hafizuddin Othman
3. Muhammad Razie Abd Rahim
4. Muhammad Sukri Abdul Mutalib
5. Muhammad Najmi Farizal Jazlan
6. Faiz Helmi Jali
7. Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan
8. Muhammad Azri Hassan
9. Mohd Marhan Mohd Jalil
10. Mohd Fitri Saari
11. Nabil Fiqri Mohd Noor
12. Joel Samuel Van Huizen
13. Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad
14. Muhammad Haziq Samsul
15. Muhammad Ramadan Rosli
16. Muhammad Shahril Saabah
17. Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil
18. Faizal Saari