PHKL harap KHM timbang balik cadangan teruskan Piala Tun Abdul Razak

Oleh Bernama 13 Jun 2020 50
PHKL harap KHM timbang balik cadangan teruskan Piala Tun Abdul Razak
Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) berharap Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dapat mempertimbangkan sebaik mungkin cadangan untuk meneruskan penganjuran Piala Tun Abdul Razak 2020 pada 21 hingga 29 Ogos ini.

Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata ia satu tindakan kurang matang daripada KHM sekiranya meneruskan penganjuran kejohanan itu kerana sekatan masih dikenakan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang berakhir 31 Ogos ini. 

"Jangan risikokan kesihatan pemain dan mengambil sambil lewa perkara ini dengan menganggap tempoh PKPP ini sebagai ‘tempoh percutian’ sedangkan peperangan kita dalam mengatasi pandemik Covid-19 belum berakhir.

"Apa-apa pun boleh berlaku, mengambil kira insiden terbaru tukang gunting rambut di Setapak yang hanya disahkan positif Covid-19 selepas memulakan operasi perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata KHM juga perlu melihat daripada aspek persiapan setiap pasukan negeri, yang mana kekangan masa akan menyebabkan timbulnya masalah lain di kemudian hari.

“Kita sepatutnya memberikan sokongan penuh kepada apa saja garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, KHM berhasrat untuk meneruskan penganjuran Piala Tun Abdul Razak selain Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) pada hujung September depan walaupun negara masih berdepan wabak Covid-19.  

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen