Persiapan ala Eropah buat skuad wanita

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2019 949
Persiapan ala Eropah buat skuad wanita
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dharma Raj Abdullah, membayangkan persiapan ala Eropah untuk menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 memandangkan hampir kesemua pemainnya berkelana ke benua itu untuk berkhidmat dengan kelab masing-masing.

Mengakhiri Kejohanan Siri Akhir Wanita FIH di tempat ketiga bukan sahaja membuka kembali peluang skuad negara meraih tiket ke kempen kelayakan Sukan Olimpik tahun depan, malah ia turut membuka ruang buat 12 pemain menimba pengalaman di Eropah.

Dharma melihat peningkatan positif diraih daripada anak buahnya memandangkan sebelum ini hanya lapan pemain yang menempah nama di benua itu.

Enam daripada mereka bakal mewakili kelab di Jerman manakala empat lagi akan ke Itali sambil England menjadi destinasi dua lagi pemain.

"Memandangkan sukar untuk membuat perancangan, saya rasa dengan menghantar 12 pemain ini, ia boleh menjadi langkah tepat demi memastikan mereka dalam keadaan terbaik," katanya. 

Sementara itu, penyerang muda negara, Nur Amirah Shakirah Zulkifli, enggan mensia-siakan peluang yang diraih dalam usaha meningkatkan prestasinya untuk membantu skuad negara menghadapi kelayakan ke Tokyo itu.

"Memang gembira tetapi takut kerana saya tidak pernah beraksi di luar. Terkejut pun ada. Saya masih muda, jadi pengalaman itu akan didapatkan. Saya akan membantu pasukan, insya-Allah untuk semua yang ada di sana," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen