Khidmat Faizal dan Fitri Saari masih diperlukan dalam skuad kebangsaan.

Bekas rakan sepasukan dalam kem The Malaysian Hockey Tigers, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Akhimullah Anuar Esook, meluahkan pendapat itu apabila masih belum ada sinar buat gandingan adik beradik berkenaan untuk kembali ke pangkuan skuad kendalian Roelant Oltmans tersebut.

Akhimullah memerlukan Faizal, yang telah mengumpul 170 gol dalam skuad kebangsaan, dalam pasukan kerana sebelum ini penyerang berpengalaman itu banyak membantunya dalam menyesuaikan diri bersama skuad kebangsaan.

Begitupun, pemain berusia 20 tahun itu percaya bahawa ketua jurulatih dari Belanda tersebut mempunyai perancangan lebih baik buat masa depan negara.

"Pengalaman mereka diperlukan, malah Faizal merupakan salah seorang penyerang kegemaran dan banyak kali kami pernah bergandingan.

"Dia selalu memberi sokongan dan semangat kepada kami," katanya dalam panggilan video bersama wakil Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Tajuddin, pula 'gusar' barisan skuad kebangsaan yang dibarisi ramai pemain muda ketika ini memerlukan tempoh yang panjang untuk mencapai kemuncak prestasi.

"Ia memerlukan masa untuk kami mencipta keputusan yang memberangsangkan.

"Pemain muda memerlukan pendedahan di peringkat antarabangsa untuk mematangkan mereka.

"Terpulang kepada Oltmans kerana dia mempunyai kuasa untuk membuat perancangan," katanya pula.