Pengalaman di Eropah mampu pacu tiket Sukan Olimpik -- Dhaarma 

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 263
Pengalaman di Eropah mampu pacu tiket Sukan Olimpik -- Dhaarma 
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menganggap Kejohanan Final Siri Dunia sebagau peluang terakhir anak buahnya memasang impian beraksi di pentas Sukan Olimpik dengan syarat memastikan dua slot terbaik di Ireland nanti.

Ia tampak sukar dengan Malaysia perlu mengatasi dua pasukan yang berada di ranking lebih baik, iaitu tuan rumah, Ireland, dan Korea Selatan.

Perbezaan permainan anak buahnya berbanding dua pasukan itu tidak begitu jauh dan jika anak buahnya bijak mengambil kesempatan, tidak mustahil Malaysia mampu menghuni dua slot terbaik untuk melengkapi 14 pasukan yang akan berentap mencari tujuh slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada November 2019.

"Jepun dan India dalam kelas berbeza manakala prestasi Korea Selatan semakin menurun, jadi kami perlu mengambil kesempatan ini untuk merebut dua slot Sukan Olimpik," kata Dhaarma.

Ketika ini, Kejohanan Final Siri Dunia adalah keutamaan.

Dengan khidmat lapan pemain negara yang berkelana di Eropah masih berbaki lapan bulan, Dhaarma mengharapkan Malaysian Tigress mampu berwajah baru.

"Selalunya bertemu pasukan Eropah, kami bermula dengan gugup.

"Saya mengharapkan lapan pemain yang kini berada di Eropah boleh membantu, keyakinan mereka bertemu pemain Eropah akan meningkat ," tambahnya.

Memasuki tahun keempat Dhaarma bersama skuad hoki wanita negara, pengendali tersebut mengharapkan pentas Olimpik mampu menjadi jawapan kepada keberkesanan sentuhannya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen