"Keputusan tepat," demikian pandangan bekas kapten hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, mengenai keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memendekkan tempoh Liga Hoki Malaysia (LHM) demi membantu skuad kebangsaan membuat persiapan menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago.

Tiada yang lebih penting berbanding pasukan kebangsaan.

Tindakan KHM mendapat reaksi positif walaupun saingan LHM bermula 6 Januari depan akan meningkat kepada lapan pasukan.

Saingan akan tamat pada 26 Februari, sekaligus memberi masa hampir sebulan untuk skuad kebangsaan kendalian Stephen Van Huizen membuat persiapan ke Trinidad & Tobago yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

"Kita harus pastikan pasukan kebangsaan dapat mempersiapkan diri mereka dengan mantap kerana amat penting untuk kita layak ke Piala Dunia 2018 dan juga Sukan Olimpik 2020.

"Ini adalah perancangan dan juga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat KHM dan skuad kebangsaan," jelas Mirnawan.

Penjaga gol hoki negara, S. Kumar, turut menyuarakan persetujuan sama.

"Pada saya, memendekkan jadual akan membantu skuad negara, terutamanya ketika LHM berlangsung, kami perlu juga menyertai kem latihan," katanya.

Skuad kebangsaan yang meraih tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang, minggu lalu perlu menamatkan cabaran sekurang-kurangnya dalam kelompok tiga terbaik untuk layak ke separuh akhir Liga Dunia.

Pemain negara akan kembali memulakan sesi latihan, Isnin ini.