Penangguhan ACT beri kelebihan buat Arul

Oleh Bernama 21 Ogos 2020 68
Penangguhan ACT beri kelebihan buat Arul
Ketua jurulatih hoki kebangsaan A. Arul Selvaraj mahu menjalin hubungan lebih rapat dengan pemain apabila memulakan tugasnya minggu depan.

Beliau yang pulang dari Dublin, Ireland minggu lepas, kini sedang menjalani tempoh kuarantin wajib 14 hari sehingga Rabu ini (26 Ogos)  berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Melalui hubungan yang rapat dengan semua pemain, beliau yakin dapat membentuk kesatuan dalam pasukan dan meningkatkan motivasi pemain untuk memberikan yang terbaik.

"Saya mahu meluangkan lebih banyak masa dengan pemain di luar padang, seperti makan bersama...Ini sebabnya saya memilih untuk tinggal berdekatan dengan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Saya mahu mendengar banyak daripada pemain...tentang bagaimana kami boleh bersama sebagai satu pasukan dan buat mereka rasa memiliki pasukan.

"Keluarga saya juga masih berada di Ireland jadi saya akan ada banyak masa untuk para pemain. Saya mahu mereka tahu, saya sentiasa ada untuk mereka.

"Sudah sembilan hari saya menjalani kuarantin, harap saya kekal sihat sehingga ujian saringan kedua dalam beberapa hari lagi. Saya juga menggunakan masa lapang ini untuk mengkaji pasukan, dapatkan maklumat terkini mengenai tahap kecergasan pemain daripada jurulatih lain dan membaca mengenai sains sukan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Arul dijangka mempunyai banyak masa bersama-sama anak buahnya memandangkan tiada sebarang kejohanan antarabangsa berlangsung tahun ini susulan Persekutuan Hoki Asia (AHF) memutuskan untuk menangguhkan kejohanan hoki Piala Juara-juara Asia (ACT) daripada 17-27 Nov ini kepada 11-19 Mac tahun depan kerana kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan.

Edisi keenam kejohanan berkenaan yang pada awalnya dijadualkan pada 4-12 Jun akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani Dhaka, Bangladesh.

Ia menjadi khabar gembira buat Arul memandangkan beliau mempunyai lebih banyak masa bekerjasama dengan skuad negara yang kini berada di ranking ke-11 dunia, sebelum mereka dilepaskan untuk menyertai pasukan masing-masing pada Piala Tun Abdul Razak pada 18-26 September.

"Penangguhan ACT adalah baik untuk saya kerana mempunyai lebih banyak masa untuk menyediakan pasukan sebelum berdepan ujian pertama bersama. Kami perlu bersiap sedia untuk berdepan jadual ketat pada 2021, dengan penganjuran Liga Hoki Malaysia pada Januari dan Februari, diikuti ACT dan Piala Sultan Azlan Shah (April)," katanya.

Arul akan memulakan tugas membimbing skuad The Speedy Tigers minggu depan selepas bekas ketua jurulatih dari Belanda Roelant Oltmans meletak jawatan bulan lepas.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas antarabangsa adalah ketika perlawanan 'play-off' kelayakan ke Sukan Olimpik menyaksikan skuad negara tewas kepada Great Britain dengan agregat 9-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Lee valley Hockey & Tennis Centre pada November tahun lepas.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen