Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, menyambut baik tindakan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang membenarkan penolong jurulatih kebangsaan terbabit dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) pada musim depan.

KHM mengadakan pertemuan dengan semua jurulatih kebangsaan kelmarin, dan antara hasil perbincangan, penolong jurulatih negara dibenarkan terbabit semula dalam LHM bagi membantu meningkatkan kualiti pemain dan aspek taktikal pasukan.

Peluang ketua jurulatih lelaki dan wanita pula belum dapat diputuskan kerana KHM mahu mengadakan perbincangan mendalam.

"Saya rasa ia adalah keputusan yang bagus. Ketua jurulatih tidak akan terlibat kerana akan berlaku konflik kepentingan, mereka lebih baik menjauhkan diri.

"Penglibatan penolong jurulatih merupakan langkah baik kerana ia dapat menaikkan mutu hoki negara.

"Sebelum ini, peraturan tidak membenarkan mereka terlibat, menyebabkan kelab terpaksa mendapat jurulatih luar yang mungkin tidak berada di tahap sepatutnya," kata Van Huizen.

Beberapa penolong jurulatih negara pernah mengendalikan kelab LHM seperti Nor Saiful Zaini, Muhammad Amin Rahim (Tenaga Nasional Berhad) dan Lim Chiow Chuan, Roslan Jamaluddin (Kelab Hoki Kuala Lumpur).

Sementara itu, skuad negara akan mengadakan aksi persahabatan menentang Jepun di Dhaka, Bangladesh dalam persiapan untuk menghadapi Piala Asia, bulan depan.

"Jepun mempunyai pemain bintang seperti China dan Korea Selatan. Saya rasa apabila menentang Jepun, kita dapat merasai situasi berdepan China dan Korea Selatan.

"Ia bukan sekadar perlawanan tetapi saya fikir ia adalah untuk menyesuaikan diri sebelum perlawanan sebenar," tambahnya.