Pemain hoki wanita negeri diseru buktikan kemampuan 

Oleh Penulis Jemputan 7 November 2017 218
Pemain hoki wanita negeri diseru buktikan kemampuan 
Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, menyifatkan Malaysia masih kekurangan pemain berkualiti untuk bersaing di peringkat dunia dan mengakui tugasnya semakin sukar jika sekadar mengharapkan kudrat pemain sedia ada. 

Skuad hoki wanita negara tiba di tanah air semalam selepas menamatkan kempen Piala Asia di Kakamigihara, Jepun, di tempat kelima. 

Selepas ini, kesemua pemain akan dilepaskan dan pulang ke pangkuan pasukan negeri masing-masing untuk menghadapi Piala Tun Abdul Razak yang dijaduakan bermula 18 November ini. 

Kekurangan pemain berkualiti menyebabkan Malaysia bergelut untuk memberikan tentangan sengit kepada negara-negara luar, khususnya yang mempunyai ranking lebih baik. 

Justeru, Dharmaa memberi gambaran akan merombak skuadnya bagi mengatasi masalah tersebut. 

"Muka baru yang tampil dalam kempen Piala Asia baru-baru ini pun tidak dapat bermain (dengan baik).

"Saya berasa sedih kerana pemain senior terpaksa dikerah sepanjang masa kerana untuk membuat pertukaran pemain pun saya khuatir. Ini kerana kedudukan permainan pada masa itu agak tegang. 

"Saya takut pemain muda membuat kesilapan. Mereka sukar untuk meningkat dan memerlukan pendedahan," kata Dhaarma. 

Perkara itu juga dipersetujui oleh pemain senior seperti Nuraini Rashid yang menyifatkan jumlah pemain wanita yang mampu merebut tempat dalam skuad kebangsaan tidak seramai seperti skuad lelaki. 

"Mahu atau tidak, kita perlu mencari pemain lagi. Kita masih tidak dapat melihat kelebihan pemain-pemain di peringkat negeri. 

"Piala Tun Abdul Razak ini adalah pentas untuk mereka membuktikan bahawa mereka layak untuk berada dalam pasukan kebangsaan," ujar Nuraini. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen