Syarman Mat Tee mencipta impak besar dalam masa singkat, pertahanan skuad hoki negara itu antara lima pemain yang dibenarkan menyertai sesi latihan skuad projek khas lelaki kebangsaan walaupun nama mereka tidak tersenarai.

Syarman terpilih menyertai kem latihan skuad senior negara buat kali pertama sejak bulan lalu.

Lebih menarik, pemain berusia 19 tahun itu turut dibenarkan menyertai sesi latihan skuad projek khas lelaki kebangsaan menjelang Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh, awal tahun depan.

Ia satu penghormatan buat Syarman apabila berjaya mencipta impak dalam masa singkat.

"Jurulatih telah menerapkan kepada kami bahawa pemain yang berusaha keras akan tersenarai dalam skuad. Saya akan terus berlatih dengan lebih baik dan memastikan saya tersenarai selepas ini," kata Syarman.