Terengganu Hockey Team (THT) memulakan langkah mempertahankan reputasi pasukan gergasi apabila mendapatkan khidmat empat pemain Argentina yang diketuai pakar pukulan sudut
penalti, Gonzalo Peillat, menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM), 6 Januari depan.


THT mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan empat pemain berkualiti Argentina itu.

Selain Peillat, turut bakal mencuri tumpuan ialah penyerang berbisa, Joaquin Manini, di mana mereka sedang beraksi dalam final Liga Dunia di India.

Kehadiran mereka bukan sahaja memperkuatkan THT, malah menjadi daya penarik penonton ke stadium.

“Setiap orang mengetahui Peillat merupakan seorang pemain yang berkualiti. Semua pasukan mahu mendapatkan khidmatnya dan THT adalah pasukan yang bertuah,” kata ketua jurulatih THT, Sarjit Singh.

"Kami mengetahui Jang Jong-hyun telah dipancing untuk bersama pasukan lain, jadi kami perlu membuat perancangan yang berbeza dan kami mengucapkan yang terbaik buat dirinya."

THT merupakan juara Piala TNB dan Piala Tan Sri P. Alagendra musim lalu sementara Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menjulang Piala Liga dan Piala Sumbangsih.

Lapan pasukan dijangka mencabar Liga Perdana menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan, Jumaat ini.