Jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen, tetap menghormati Pakistan yang berdepan risiko hilang khidmat kaptennya, Muhammad Irfan, ekoran masalah visa menjelang aksi sulung Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Pahang, esok.

Kelebihan buat Malaysia jika Irfan tidak sempat tiba untuk aksi pembukaan itu kerana ketiadaannya akan menyukarkan misi Pakistan untuk menghalang pukulan sudut penalti skuad negara.

Stephen, yang memiliki enam pakar pukulan sudut penalti, bagaimanapun, masih tetap menghormati juara bertahan itu.

"Ia bukan hanya mengenai seorang pemain. Saya fikir ia mengenai pasukan kerana Pakistan adalah pasukan yang baik.

"Apa yang berlaku dalam kejohanan, seperti seorang pemain mengalami kecederaan, kami tidak boleh buat apa-apa (tiada kelebihan). Bagaimanapun, kami rasa mereka sudah bersedia tanpa Irfan dan bersedia untuk perlawanan pertama," katanya.

Pertahanan berpengalaman ini masih berada di Pakistan dan sedang menunggu kelulusan visa.

Pun begitu, Pakistan, yang belum pernah tewas di tangan Malaysia sejak tiga edisi lalu, yakin mampu menghalang serangan tuan rumah, terutama menerusi pukulan sudut penalti.

"Dia adalah kapten kepada pasukan dan dia juga pemain berpengalaman. Sudah tentu kami mengharapkan dia ada di sini untuk bersama pasukan saya.

"Tetapi perkara luar biasa berlaku. Perkara itu biasa kerana ia sebahagian daripada perlawanan," kata pengurus hoki pakistan, Hanif Khan, yang memburu gelaran hatrik kejohanan itu.

Mengikut rekod, Malaysia tewas dua daripada tiga pertemuan menentang Pakistan dalam kejohanan yang sama.

Pada 2011, skuad negara tewas 2-3 di peringkat round robin di China, begitu juga di Jepun pada 2013, tewas 1-0. Sementara di Doha pada 2012, kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 3-3.

Trofi Juara-Juara Asia disertai enam negara iaitu Korea Selatan, Pakistan, India, Jepun, China, termasuk tuan rumah, Malaysia.