Pakistan sekat hajat skuad hoki negara

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2018 1160
Pakistan sekat hajat skuad hoki negara
Hajat skuad hoki negara untuk mara ke pentas final kejohanan Trofi Juara-Juara Asia tidak kesampaian selepas tewas penentuan penalti 1-3 kepada Pakistan dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, awal pagi tadi.

Edisi kelima  ini meneruskan rentetan kegagalan The Malaysian Hockey Tigers ke final sejak edisi pertama di Ordos, China, pada 2011.

Walaupun bangkit mengikat kedudukan selepas ketinggalan 4-1 sebelum masa sebenar tamat, skuad negara gagal meneruskan rentak tersebut dalam penentuan penalti, sekali gus membenarkan Pakistan meneruskan rekod ke final sepanjang penganjuran kejohanan itu.

Malaysia bermula cemerlang sebaik Faizal Saari mencetak gol pertama perlawanan selepas memanfaatkan sepenuhnya kesilapan pertahanan lawan pada minit kedua.

Hanya tiga minit diperlukan Pakistan untuk kembali mengimbangi perlawanan menerusi M.Irfan Jr.

Mereka kemudian melebarkan kedudukan tersebut menerusi dua pukulan sudut penalti daripada Aleem Bilal dan Abubakr Mahmood.

Bilal kemudian terus memberikan kesukaran buat skuad negara apabila dia menjaringkan gol keempat Pakistan yang juga menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia kemudian bangkit mengikat kedudukan dengan tiga jaringan yang disumbangkan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi serta gol pukulan sudut penalti Faizal.

Aksi penentuan penalti menyaksikan Pakistan memaanfaatkan kegagalan dua pukulan pertama Malaysia untuk mara ke final dengan kemenangan 3-1.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen