Malaysia gagal ke perlawanan akhir kejohanan hoki Trofi Juara-Juara Asia selepas kecundang 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti kepada Pakistan, selepas kedudukan sepenuh masa terikat 1-1 dalam aksi di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, malam ini.

"Ini satu pengalaman pahit untuk pemain belajar. Mereka seharusnya belajar bagaimana untuk menamatkan permainan. Tiada gunanya mereka bermain dengan corak menarik tanpa mencapai kemenangan.

"Pemain-pemain perlu bangkit dan bersatu kembali untuk meraih kemenangan ke atas Korea Selatan esok (penentuan tempat ketiga dan keempat)," demikian luahan ketua jurulatih hoki negara, Stephen van Huizen, sejurus tamat perlawanan.

Hujan yang turun sejak awal perlawanan tidak mengganggu kerancakan permainan dengan The Malaysian Hockey Tigers tidak menunggu lama untuk membuka tirai gol perlawanan apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti pertama menerusi sumbangan Shahril Saabah pada minit ke-18.

Juara bertahan sejak dua edisi lalu, Pakistan, bagaimanapun, berjaya menembusi benteng pertahanan negara menerusi gol padang Abdul Khan untuk mengikat kedudukan pada minit ke-34 dan seterusnya mengekalkan keputusan itu sehingga tamat masa sebenar perlawanan.

Firhan Ashari dan Faizal Saari terlebih dahulu berjaya menyempurnakan tugas mereka dalam penentuan pukulan penalti. Kem negara seakan-akan sudah terbayang aksi di final selepas kegagalan Muhammad Rizwan Sr. menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar.

Namun, Pakistan menghidupkan semula peluang mereka apabila menafikan percubaan Faiz Helmi untuk Muhammad Ifran Jr. mengikat kedudukan 2-2.

Selepas itu, giliran Shahril Saabah pula dikecewakan dan peluang itu digunakan Pakistan untuk menambah tekanan ke atas skuad van Huizen apabila Muhammad Arslan Qadir memberi kelebihan gol buat Pakistan.

Dalam situasi penuh debaran itu, tolakan Fitri Saari pula tidak menuju ke arah pintu gol dan secara automatik memberi kemenangan 3-2 kepada pihak lawan.

"Pada hari ini, kami agak bertuah. Penentuan pukulan penalti pada malam ini memihak kepada kami. Dalam situasi itu, sesiapa juga boleh menang.

"Kedua-dua pasukan telah mempamerkan permainan menarik tetapi Tuhan telah membantu kami," ujar jurulatih Pakistan, Khawaja Junaid.

Dalam aksi separuh akhir, India menumpaskan Korea 5-4, juga menerusi penentuan pukulan penalti selepas perlawanan terikat 2-2, sekali gus akan menentukan gelaran juara dengan Pakistan, malam esok.

China muncul pasukan kelima terbaik kejohanan selepas mencipta kemenangan 4-3 ke atas Jepun, petang tadi.


Kredit imej: Malaysian Hockey Confederation