Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mendapat lampu hijau untuk membawa Malaysia berguru di Eropah, termasuk di Belanda dan Jerman, selama hampir sebulan menjelang Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.

Rekod buruk menentang pasukan Eropah membuka mata Oltmans bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menghadapi kelayakan Olimpik bermula April tahun depan.

Pengendali berusia 64 tahun itu berjaya mendapatkan persetujuan enam gergasi Eropah diketuai juara dunia tiga kali, Belanda, selain Jerman dan Belgium untuk aksi persahabatan.

Skuad negara akan berpangkalan di Eropah bermula Julai tahun depan.

"Saya telah berhubung dengan negara-negara tersebut kerana saya fikir penting untuk beraksi di negara Eropah sebelum aksi kelayakan terakhir ke Olimpik 2020.

"Penting untuk beraksi dan bersaing di negara Eropah yang elit. Kadangkala kami membiarkan mereka untuk tampil dengan kekuatan tersendiri. Namun, banyak perkara perlu diperbaiki seperti kawalan bola yang sering terlepas," kata Oltmans.

Malaysia menamatkan cabaran Piala Dunia 2018 di tangga ke-15.

Pemain negara dibenarkan menyaksikan perlawanan sebelum dijangka tiba ke tanah air, Sabtu ini.