Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, bersedia menerima apa jua keputusan yang akan diambil oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad negara gagal menamatkan penantian 20 tahun untuk meraih slot ke temasya berprestij itu selepas diketepikan oleh Great Britain 9-3 secara agregat dalam aksi kelayakan di London.

Oltmans akan bertemu KHM bagi membincangkan hala tuju The Malaysian Tigers selepas ini dan sedia menerima sebarang keputusan yang diputuskan badan induk itu.

Sebelum ini, Oltmans pernah menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan jika gagal membawa pasukan negara ke Tokyo 2020.

"Segalanya jelas dalam kontrak saya dan kami akan berbincang secara profesional terhadap apa yang telah saya usahakan untuk skuad negara dengan pihak KHM," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan negara, Sukri Mutalib, menyifatkan pengendali kelahiran Belanda itu telah menjalankan tugasnya dengan baik meskipun gagal ke Tokyo.

"Saya berasakan Oltmans telah menjalankan tugasnya untuk skuad negara, namun segalanya tidak memihak kami.

"Saya tidak boleh membincangkan mengenai kontrak Oltmans, ia adalah keputusan pihak KHM dan kami sebagai pemain menjalankan tugas yang telah ditetapkan," kata Sukri.