Oltmans perlu segera bentuk semula skuad hoki negara

Oleh Staff Writer 12 Disember 2018 232
Oltmans perlu segera bentuk semula skuad hoki negara
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, perlu membentuk semula The Malaysian Hockey Tigers kerana Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, mendedahkan kelemahan yang menyukarkan pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia masih dengan imej lama, pasukan yang hampir-hampir menang.

Sama ada kekalahan di tangan Belanda dan Jerman, atau melepaskan peluang ketika seri menentang Pakistan, kesemuanya mengundang kebimbangan mengenai cara pemain merebut peluang.

Malaysia meledak empat gol, namun bolos sebanyak 13 kali.

Ketajaman penyerang negara turut dipersoalkan kerana mereka gagal menjaringkan gol padang.

Muhammad Razie Abd Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Faizal Saari hanya bergantung kepada pukulan sudut penalti bagi mencatat nama selaku penjaring.

Realitinya, pukulan sudut penalti semakin sukar menghasilkan gol kerana kepantasan pelari pertama lawan.

Jentera pertahanan pula mudah dibolosi, terutama ketika berdepan pasukan dari Eropah. 

Dalam Piala Dunia empat tahun lalu, Malaysia meraih tangga tercorot daripada 12 pasukan di The Hague, Belanda.

Kali ini, skuad negara meraih tangga ke-15 daripada 16 pasukan.

Persoalannya, adakah prestasi Malaysia semakin meningkat?

Daripada empat wakil Asia, hanya Malaysia gagal ke pusingan kedua.

Oltmans dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu mengambil tindakan segera kerana Final Siri Hoki Dunia hanya berbaki lima bulan dari sekarang.

"Kami kerap menghampiri kemenangan, namun gagal.

"Perkara itu perlu diubah.

"Jika tidak, keputusan yang sama pasti berulang.

"Sejak dilantik menjadi ketua jurulatih, sasaran utama saya adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen