Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mengambil langkah drastik untuk menurunkan lebih ramai pemain muda dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Oman, bermula 18 Oktober ini, sambil mengetepikan tonggak senior yang tidak cergas.

Trofi Juara-Juara Asia boleh dianggap medan ujian kerana tidak menawarkan mata ranking dunia.

Ia peluang terbaik buat Oltmans untuk menguji pemain muda atau simpanan yang sebelum ini lebih banyak dibayangi tonggak senior.

Situasi itu akan menghangatkan lagi persaingan merebut tempat ke Piala Dunia dan kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

"Mustahil untuk membawa semua pemain ke Oman tetapi kami tidak mahu mengambil risiko membawa pemain yang sedang menanggung kecederaan kecil.

"Sudah tentu kami ingin membawa beberapa pemain muda ke sana dan mereka telah membuktikan kemampuan di Darwin, dua minggu lalu, dan saya akan menonton rakaman perlawanan membabitkan mereka.

"Beberapa pemain juga akan digugurkan bagi menghadapi Trofi Juara-Juara Asia," ujar beliau.

Pemain simpanan seperti Mohd Haziq Shamsul, Norsyafiq Sumantri, Ashran Hamsani dan Mohd Najib Abu Hasan mempamerkan aksi memikat ketika Malaysia meraih tangga ketiga Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin, minggu lalu.

Ia menjadi bukti bahawa Oltmans memiliki lebih banyak pilihan untuk membentuk skuad terbaik.

"Masih terlalu awal untuk menyenaraikan skuad akhir 18 pemain, sudah pasti barisan kejurulatihan akan berbincang tetapi kami tidak akan mengambil risiko ke atas mana-mana pemain yang cedera," tambahnya.

Sementara itu penjaga gol, S. Kumar, adalah antara pemain senior yang kesuntukan masa untuk pulih daripada kecederaan.

Dia mengalami kecederaan tangan dalam Sukan Asia Indonesia sehingga terlepas Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin.

Selain Kumar, pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, juga tidak cergas untuk menyertai sesi latihan skuad kebangsaan.

"Kecederaan koyakan tisu di tangan yang dialami semasa menentang India dalam Sukan Asia Indonesia semakin pulih.

"Selepas tiga minggu, kecederaan ini semakin pulih tetapi saya tidak pasti sempat beraksi dalam Trofi Juara-Juara Asia.

"Say akan cuba untuk pulih bagi mengikuti kejohanan itu," kata Kumar.

Malaysia memiliki dua lagi penjaga gol, iaitu Hairi Abd Rahman dan Mohd Hafizuddin Othman.