Aksi pemain muda dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) memikat ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, yang memilih hampir 40 peratus muka baru menjelang pengumuman skuad kebangsaan, Selasa depan.

Mohamad Faid Farhard Mohd Shah dan Mohd Sufi Ismat Rohulamin merupakan antara pemain muda yang beraksi cemerlang musim ini.

Mereka memiliki peluang terbaik untuk terpilih dalam skuad kebangsaan apabila Oltmans merancang pembentukan skuad jangka panjang untuk menghadapi Piala Dunia 2022 dan Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah, lebih satu pertiga pemain skuad kebangsaan akan dibarisi pemain berusia bawah 25 tahun.

"Saya telah katakan sebelum ini. Proses ini pastinya melibatkan banyak muka baru. Saya perlu pastikan Malaysia beraksi dalam Sukan Olimpik di Paris nanti," ujar pengendali itu.

Cabaran pertama Oltmans ialah mencapai sasaran layak ke final Piala Sultan Azlan Shah, April depan.

Dia juga tidak bimbang mencari pengganti penjaga gol senior yang bersara, S. Kumar, Jumaat lalu.

"Sudah tentu pengganti Kumar akan dicari walaupun sukar. Dia sudah lama beraksi bersama skuad kebangsaan. Pemain baru perlu meraih banyak pengalaman di peringkat antarabangsa untuk sampai ke tahap sama seperti Kumar," tambah Oltmans.