Pemain muda berusia 16 tahun, Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad, merupakan satu-satunya nama yang berjaya melepasi kriteria dalam sesi pemilihan untuk ke Piala Asia.

Ketiadaan tonggak utama seperti Fazilla Sylvester Silin dan Hasliza Md Ali memaksa pengendali pasukan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mendapatkan pemain-pemain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Nurmaizatul, yang bersaing dengan lapan lagi pemain muda, tidak menyangka terpilih untuk bersama skuad negara dalam usia yang begitu muda bagi membawa cabaran Malaysia di pentas Piala Asia buat pertama kali.

"Jurulatih memberikan kepercayaan kepada saya, jadi saya perlu melakukan dengan terbaik. Saya perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha untuk membanggakan negara," kata Nurmaizatul.

Kapisiti selaku penjaring terbanyak dalam saingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini diharap mampu menjadi jaminan untuk pemain kelahiran Pulau Pinang ini membantu negara mencari jaringan ke atas pasukan lawan.

"Saya akan tunjuk apa kelebihan saya. Saya akan menjaringkan gol untuk negara dan saya tidak akan membazirkan peluang ini," tambahnya.