"Nur Insafi patut belajar daripada Terengganu Hockey Team," itu pandangan bekas penyerang hoki negara, Rodhanizam Mat Radzi, mengenai isu kelab berpangkalan di Kedah itu enggan menggunakan Stadium Hoki Sungai Petani sebagai gelanggang rasmi mereka untuk Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019.

Pihak pengurusan Nur Insafi sepatutnya mengadakan perbincangan awal dengan Majlis Sukan Negeri Kedah mengenai bantuan yang diperlukan untuk menghadapi LHM.

Ia bagi mengelak salah faham yang akan merugikan komuniti hoki di utara tanah air.

Nur Insafi seharusnya mengadakan perbincangan dengan pasukan lebih berpengalaman mengenai cara mewujudkan kerjasama lebih berkesan.

"Nur Insafi boleh mengambil pendekatan yang sama seperti pasukan Terengganu. Mereka dapat bekerjasama dengan persatuan hoki negeri, majlis sukan negeri serta Kerajaan Terengganu itu sendiri," kata Rodhanizam.

"Kami berharap Kedah turut dapat mengambil pendekatan yang sama demi pembangunan sukan hoki di negeri tersebut," ujarnya.

Isu berkenaan timbul apabila pengurus Nur Insafi, Dr Thaicana Muruthi, mendakwa tidak mendapat bantuan daripada Majlis Sukan Negeri Kedah, termasuk mengenai penggunaan Stadium Hoki Sungai Petani.

Beliau merancang menggunakan Stadium Hoki Kuala Lumpur sebagai gelanggang rasmi dan mempunyai tempoh hingga Khamis ini untuk memaklumkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).