Jurulatih Skuad Projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, perlu bersedia dengan perancangan kedua andai hasrat pasukannya untuk menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 tidak tercapai bagi melakukan persiapan terbaik menjelang kelayakan Piala Dunia Remaja 2020.

Ini merupakan persiapan paling menguji buat skuad remaja negara menjelang Piala Asia tahun depan apabila tidak banyak diberikan pendedahan di luar negara.

Mereka hanya diberi peluang sekali untuk ke China pada September lalu sebelum menghadapi Piala Sultan Johor 2018 dengan program untuk menyertai Kejohanan Enam Negara di Antwerp, Belgium, pada Julai lalu dibatalkan.

Ketika hasrat untuk menyertai LHM 2019 masih belum diputuskan, Nor Saiful hanya mengharapkan kehadiran beberapa pasukan dari luar negara untuk ke Malaysia bagi aksi persahabatan sebelum kelayakan Piala Dunia.

"Kami perlu mengumpulkan kesemua pemain dan jika ada peluang, saya inginkan mereka beraksi dalam saingan LHM supaya mereka mendapat pendedahan dalam perlawanan," katanya.

Nor Saiful dijangka mengumpulkan barisan pemain terbaik pada pertengahan bulan ini dengan latihan berterusan tetap dijalankan selepas Piala Sultan Johor 2018 berakhir bulan lalu yang menyaksikan mereka meraih tempat kelima.

"Hoki moden memerlukan kekuatan fizikal memandangkan lebih banyak kepada situasi satu lawan satu.

"Kami turut akan melakukan latihan secara berkumpulan untuk memperkuatkan aspek ini," tambahnya.