Jurulatih skuad projek 2020, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, mencadangkan agar skuad remaja negara menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019, Januari depan, termasuk sembilan pemain yang meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Argentina.

Nor Saiful sudah mencadangkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) agar pemain skuad projek 2020 tidak dilepaskan kepada kelab masing-masing untuk menghadapi LHM.

Mereka patut mengibar cabaran sebagai satu pasukan kerana masa semakin suntuk menjelang Piala Remaja Asia tahun depan yang juga kelayakan Piala Dunia Remaja 2020.

Ini termasuk sembilan pemain negara yang meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, hujung minggu lalu.

"Kami semakin hampir dengan kelayakan Piala Dunia Remaja. Kami perlu membuat persiapan, skuad ini perlu menyertai saingan LHM 2019," katanya.

Usaha itu mampu dicapai kerana semua pemain skuad projek 2020 beraksi dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan TNB Thunderbolt, sekali gus memudahkan proses pelepasan pemain.