Pengendali skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bersedia mengambil risiko membariskan pemain bawah 21 tahun dalam Kejohanan Hoki Jemputan Enam Negara di Antwerp, Belgium walaupun had umur saingan itu adalah 23 tahun.

Aksi itu merupakan kejohanan pertama skuad muda bimbingan Nor Saiful di pentas antarabangsa tahun ini tatkala matlamat jangka panjang pasukan itu adalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2020.

Justeru, sebagai pendedahan awal, Nor Saiful sedia untuk menanggung sebarang akibat menggunakan kudrat pemain bawah 21 tahun untuk menghadapi beberapa kejohanan yang telah diaturkan, antaranya saingan di Antwerp itu.

"Sebenarnya, ini program untuk tahun 2020 tetapi untuk jelajah di Belgium, kami menampilkan pemain bawah 23 tahun seramai enam orang manakala 12 lagi adalah kelompok yang akan beraksi dalam Piala Dunia Remaja," kata Nor Saiful.

Seramai 30 pelatih dipanggil untuk menjalani latihan bersama pasukan hoki remaja ketika ini.

Bagaimanapun, hanya 18 nama yang akan terpilih untuk menyertai kejohanan yang bakal dilangsungkan di Belgium pada Julai nanti.

"Bagi saya, setiap pemain berpeluang dan sesiapa yang dipanggil perlu berusaha keras," ujar pemain negara, Akhimullah Annuar Essok.