New Zealand ketepi cabaran awal skuad hoki negara 

Oleh Staff Writer 16 November 2018 124
New Zealand ketepi cabaran awal skuad hoki negara 
MALAYSIA 1 NEW ZEALAND 2 

Skuad hoki negara mengorak langkah kiri dalam pertemuan pertama siri perlawanan persahabatan dengan New Zealand apabila tumpas 1-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. 


Ini merupakan perlawanan pertama dalam rangka persiapan skuad negara yang mengadakan tiga siri pertemuan menentang New Zealand bagi menghadapi Piala Dunia di India. 

New Zealand, yang berada di ranking kesembilan dunia, terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Stephen Jennes seawal minit kedua.

New Zealand semakin kukuh di depan dalam suku kedua dan kali ini giliran Aidan Sarikaya meledak jaringan pada minit ke-17.

Faizal Saari merapatkan jurang 1-2 untuk Malaysia menerusi pukulan penalti setelah Meor Azuan Hassan dikasari.

Permainan semakin rancak dalam suku keempat apabila Malaysia mencipta deretan peluang, namun kesemuanya gagal dimanfaatkan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Malaysia akan kembali bertemu New Zealand untuk perlawanan kedua, Selasa ini.

"Seperti yang sudah saya katakan, saya berhasrat untuk menguji kemampuan pemain yang dituntut memperbaiki beberapa kelemahan.

"Sudah semestinya permulaan setiap suku permainan adalah berbeza.

"Mujur kami beraksi lebih baik dalam suku keempat," ujar ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans.

Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, tidak melatah dengan kesudahan permainan ini dengan menyatakan: "Apa yang bagusnya, saya berpeluang untuk mengenal pasti kelemahan untuk diperbaiki dalam aksi seterusnya. 

"Sebelum kempen Piala Dunia, kami perlu memastikan lebih tajam untuk menjaringkan gol." 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen