Setelah beberapa bulan selepas Dhaarma Raj Abdullah meninggalkan skuad wanita negara barulah terjawab persoalan paling utama apabila nama yang bukan asing lagi dalam barisan kejurulatihan negara, Nasihin Nubli kembali menerajui The Malaysian Tigress.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, yang menjelaskan, bekas penjaga gol skuad negara itu akan menggalas tugas berkenaan dengan kontrak selama dua tahun.

"Ada beberapa sebab mengapa kami memilih Nasihin. Pertamanya dia pernah menggalas jawatan sama antara 2011 sehingga 2015.

"Namun ketika itu tidak banyak peruntukan diberikan kepada skuad wanita, jadi agak terhad untuknya menjalankan tugas. Tapi dia masih lagi dapat meraih beberapa keputusan baik untuk skuad negara.

"Namun yang paling penting ialah Nasihin berjaya meyakinkan kami menerusi pembentangan dilakukannya termasuklah apakah program dan perancangan yang mahu dilakukan ke atas skuad wanita.

"Jadi selepas menyenarai pendek empat nama dengan dua daripadanya adalah jurulatih asing, kami akhirnya memutuskan untuk memilih Nasihin yang akan menggalas tugas berkuat kuasa serta merta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan hari ini.

Subahan turut menjelaskan pengendali skuad lelaki negara, Arul Selvaraj akan mencari pengganti Nasihin yang sebelum ini bertindak sebagai jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan lelaki.

"Ia mungkin sama ada Roslan Jamaluddin atau S Kumar. Kami serahkan kepada Arul untuk membuat pilihan," katanya.

Sejak jawatan itu dibuka untuk diisi dengan tarikh akhir permohonan 31 Januari lalu, seramai 23 individu mengemukakan permohonan dengan bekas jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah tidak berbuat demikian.